Sign by Danasoft - Get Your Free Sign

Friday, August 05, 2016

Salam kepada pembaca blog saya selama ini. Walaupun saya sendiri tidak tahu siapa yang mengunjungi blog ini, namun jika dilihat pada counter sentiasa meningkat dari masa ke semasa.


Disini serba sedikit saya coretkan perjalanan hidup saya bermula 40 tahun yang lalu.

04 Ogos 1976 - Lahirnya saya ke dunia di Kg Lubok Kawah Pasir Mas. Di rumah kayu ayah & mek yang dikelilingi sawah padi yang luas terbentang. Untuk pengetahuan semua, lokasi rumah saya ialah ditengah sawah padi, kiri kanan depan dan belakang dikelilingi sawah padi. Ayah bekerja sebagai seorang pesawah dibantu oleh mek bagi menyara kehidupan kami sekeluarga. Sebuah rumah kayu sederhana besar, beratap rumbia dan berdinding buluh sudah cukup selesa untuk kami yang bergelar keluarga petani.
                                       Gambar sekadar hiasan

Pada 01 Januari 1982 - Umur saya sudah menjangkau 7 tahun. Mek ke kedai untuk membeli baju, seluar dan kasut sekolah untuk saya yang akan memasuki darjah 1 dan juga keperluan untuk abang sulung saya yang akan memasuki darjah 3 pada waktu itu. Saya dan abang akan berjalan kaki sejauh 2 kilometer setiap hari pagi dan petang ke SK Kedai Tanjong dengan memakai uniform sekolah berseluar pendek biru dan berkasut getah. Sekolah ini merupakan sekolah rendah yang terdekat dengan kampung saya. Selama 6 tahun saya berulangalik ke sekolah dengan hanya berjalan kaki, tak kira musim dan cuaca, adakalanya hujan lebat, ada masanya cuaca panas terik dimusim kemarau. Saya mengalas beg sandang yang penuh dengan buku-buku sekolah setiap hari. Jika keletihan, saya akan berhenti rehat di tepi jalan dan tidur sebentar di atas wakaf yang ada di sepanjang jalan raya.

Zaman era 80an adalah zaman dimana negara kita dalam keadaan ekonomi meleset, mengharapkan hasil dari menanam padi dan menoreh getah adalah tidak mencukupi bagi keperluan keluarga kami. Namun itulah yang kami sekeluarga mampu. Adakalanya aku pergi sekolah dengan tidak membawa sebarang duit belanja. Hanya makan pada pukul 6.30 pagi sebelum ke sekolah dan makan semula apabila balik sekolah nanti dalam pukul 2-3 petang.

Tahun 1989 saya telah memasuki zaman sekolah menengah dan bersekolah di SMK Tiang Chandi Pasir Mas. Jarak atara sekolah dengan rumah saya dalam 5 km. Saya pergi ke sekolah dengan menumpang kereta cikgu Harun yang mengajar di sekolah berkenaan. Sewaktu tingkatan 5 saya memohon untuk masuk ke asrama desa SMTC kerana adanya kelas tambahan pada waktu petang. Pada tahun tersebut saya telah menduduki peperiksaan SPM iaitu tahun 1993. Berbekalkan keputusan SPM yang cukup-cukup makan, saya ditawarkan menduduki tingkatan 6 di SMK Sultan Ibrahim Satu Pasir Mas.

Memasuki Tingkatan 6R2 aliran sastera pada tahun 1995 sehingga 1996 di tingkatan 6A2 sastera. Jarak ke sekolah adalah sejauh 8 km. Saya berulang-alik untuk ke sekolah di bandar Pasir Mas menggunakan bas SKMK. Remaja zaman 90an akan tahu dan biasa dengan bas biru tersebut.
        Tingkatan 6A2 1996 (aku baris belakang sekali 3 dari kanan)

Menduduki STPM tahun 1996 dengan mendapat keputusan 5 Prinsipal. Namun nasibku malang kerana tidak berjaya mendapat tempat di mana-mana institusi pengajian tinggi. Ramai kawan telah berjaya memasuki menara gading sebagaimana cita-cita setiap pelajar. Tinggal hanya aku dan beberapa orang kawan lagi yang tidak berjaya ke mana-mana.

Semasa kawan-kawan mendaftar masuk ipta, Aku mencari kerja bagi menampung perbelanjaan ku sendiri, umur sudah 19 tahun tak kan nak mengharapkan keluarga lagi. Aku cuba memohon kerja dengan sebuah syarikat di Sungai Buluh Selangor semasa kompeni tersebut datang ke Kota Bharu untuk mencari pekerja baru. Alhamdulillah aku berjaya mendapat pekerjaan di Kilang Malaysian Sheet Glass (MSG) di Sungai Buloh Selangor bersama dua lagi kawanku iaitu Bahari Dan Abd Razak. Bekerja di sana selama 6 bulan dengan gaji hampir 1k sebulan. Pada bulan Julai 1997 aku menghantar surat resign berhenti kerja dan balik kampung untuk sambung belajar di sekolah swasta iaitu Institut ZABA Pasir Mas. Selama 4 bulan saya belajar di sana bersama kawan senasibku. Pengalaman lalu mengajarku agar lebih tabah dalam menempuhi hidup ini.

Apabila keputusan STPM keluar tahun 1998 aku berjaya mendapat 5P sekali lagi. Aku cuba mengisi borang UPU dan memohon Program Bachelor Pendidikan UPM sebagai pilihan pertama. Zaman itu mana ada online, telefon rumah pun masih jarang orang pakai, apatah lagi handphone dan internet pun tak pernah kenal. Tunggu punya tunggu sampai la juga satu surat dengan letterhead UPM. Dengan rasa berdebar dan terharu saya membuka sampul dengan berhati-hati, Alhamdulillah, permohonan aku ke ipta diterima dengan kursus yang aku pohon. Rezeki Allah ada di mana-mana. Berkat kesabaranku dan makbulnya doa dari ibuku, aku berjaya menjejaki kaki ke universiti. Terima kasih kepada ibuku yang tak putus-putus mendoakan kejayaan setiap anaknya.

Tahun 1998 aku bergelar siswa di Fakulti Pendidikan UPM dengan kursus ijazah pendidikan (PBMP). Selama 3 tahun aku belajar di sana sebagai anak kampung yang menggalas harapan yang menggunung ahli keluarga. Pada akhir semester pertama aku dipanggil untuk temuduga biasiswa dari Kementerian Pendidikan Malaysia. Alhamdulillah aku berjaya dalam temuduga tersebut dan pada semester kedua aku ditawarkan biasiswa itu. Sekali lagi aku bersyukur kerana masalah kewangan akan sedikit sebanyak menjadi lebih ringan dari sebelumnya yang makan sekadar untuk kenyang dan minum air kosong sahaja.

Pada akhir Jun 2000, Aku mendapat surat penempatan guru berwarna kuning. Memang sudah diagak. Aku ditempatkan di Sarawak Bumi Kenyalang. Ahhh tak tau nak kata apa dah. Memikirkan umur masih muda, masih bujang aku terima dengan hati yang terbuka. Inilah peluang untuk aku menimba pengalaman di tempat orang. Peluang untuk berkhidmat di sana aku terima dengan hati yang terbuka, sama seperti jawapanku semasa ditanya oleh panel penemuduga semasa memohon biasiswa, .....saya sanggup ditempatkan kemana-mana sahaja walapun ke kawasan pedalaman.

07 Julai 2000 aku melapor diri di SMK Long Lama Baram Miri Sarawak. Dari bandar Miri naik Hilux selama 3 jam untuk ke sekolah. Perjalanan melalui jalan balak dan ladang kelapa sawit. Sekolah pedalaman rupanya. Aku berasa begitu asing ditempat orang yang budaya dan bahasa yang tak pernah ku dengar sebelum ini.  Banyak pengalaman yang pelajari dari sana. Sama ada bahasa percakapan, kebudayaan, mahupun cara hidup masyarakat di sana. Inilah peluang untuk aku mengenali masyarakat di sini. Kalau bukan kerana aku ditempatkan di sini, memang sampai bila pun aku tak akan sampai ke kawasan ini. Pengalaman berkhidmat di sana memang amat berharga buatku. Mungkin diriku sebenarnya amat bertuah kerana dapat melancong sambil bekerja di rantau orang.
                                 Aku dua dari kanan

Pada Mei 2003 aku menamatkan zaman bujang dengan rakan sepengajianku di UPM. Orang utara tanah air. Dah lama kenal hati budi, maklumlah coursemate hari-hari jumpa. Mula-mula selalu berjumpa sebab nak pinjam nota kuliah, lama-kelamaan kemesraan membawa kepada kasih sayang. Jodoh & pertemuan semuanya ketentuan Tuhan.

01 Januari 2004, aku berjaya dalam permohonan pindah balik ke kelantan bersama-sama dengan isteri tersayang. Aku ditempatkan di Gua Musang, Iaitu SMKTIP2. Semasa di Gua Musang aku mengenali radio amatur dari kawan baikku di sana, Cikgu Rozi 9W2DCA. Pada tahun 2006, Aku  memohon lesen pengendali Radio Amatur dan berjaya mendapatkan callsign 9W2XXP dengan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia.
                          Radio Amatur/Wireless/Walkie-talkie

01 Disember 2009, Aku dan keluarga bertukar tempat kerja balik ke Pasir Mas Kelantan. Ibarat sirih pulang ke gagang, begitulah perjalanan hidupku mengikut ketetapan ilahi ke atas diriku. Jauh merantau seawal usia belasan tahun untuk berdikari, namun apabila sampai masanya kembali jua ke kampung halaman dengan sebuah keluarga yang semakin lengkap.
Aku (bertopi) ditempat kerja sekarang bersama anak buah & rakan sekerja, Sue.

Pada hari ini 04 Ogos 2016, genaplah umurku 40 tahun, bersama seorang isteri yang banyak membantu dan 4 orang anak yang menjadi penghibur hati kami sekeluarga.
                                          Aidilfitri 2016

Begitu lah lembaran hidup di usia mencecah 40 tahun...memasuki alam kedewasaan, semoga hidup ini sentiasa mendapat keredhaan Allah. Doakan kebahagiaan untuk kami sekeluarga. Aminnn..
posted from Bloggeroid